Seperti yang telah dijanjikan....
Suasana di disko Emerald Blue gagak gempita dengan alunan muzik menggila, bersulam sinaran lampu berwarna-warni yang menyakitkan mata. Manusia-manusia di situ alpa seketika dalam kemabukan nafsu. Seandainya maut menjemput, mereka langsung tidak sedar kerana asyik meneguk arak dan berhibur.
Dua remaja terpacak di pintu utama sambil memerhatikan telatah manusia. Masing-masing terpegun melihat lakonan hidup. Itulah pertama kali mereka menjejakkan kaki ke situ. Tujuannya hanya untuk melihat sendiri keadaan di pusat hiburan itu.
"Dahsyat!" Ryan bersuara setelah lama membisu dan terpegun.
"Betul macam cerita dia orang, malah lebih hebat lagi," sambut Han sambil matanya merayapi gadis-gadis manis yang melintasi mereka.
Gadis-gadis itu sempat melempar senyuman menggoda. Tambahan pula Han memang kacak dan tubuhnya semacam mempunyai satu daya tarikan.
"Apa hal kita terpacak di sini? Jomlah cari tempat!" Han mendahului Ryan menuju ke sebuah meja yang terletak di tepi dinding.
"Tempat ni strategik. Pandai kau pilih," puji Ryan lalu duduk mengadap medan tarian.
"Aku tak mau kerugian," jawab Han lalu membalas senyuman beberapa orang gadis yang duduk di meja berhampiran.
Ryan hanya menggeleng kepala melihat gelagat sahabat baiknya itu. Kemudian Ryan segera memanggil seorang pelayan.
"Er…bagi saya Coke, ya?" pesannya, sebelum menoleh ke arah Han. "Woi! Kau nak minum apa?"
"Haaa?" Han mendekatkan telinga ke muka Ryan. Dia tidak dapat mendengar dengan jelas dalam gema muzik yang keras itu.
"Pekak!" Ryan menjerit. "Kau nak minum apa?"
"Beer ada tak?"
"Kepala hotak kau!"
Han hanya tersengih ditengking Ryan. Hasratnya cuma untuk bergurau.
"Bagi Coke dua," kata Ryan.
Pelayan berseragam merah putih itu beredar bersama lengang lenggok yang menggetarkan dada.
Lagu bertukar menjadi semakin rancak. Makin ramai memenuhi ruang tarian dengan pelbagai gaya. Kalau yang handal menari tu, cantiklah. Tapi yang baru-baru mula belajar, buat sakit mata memandang. Ryan ketawa sendiri melihat gelagat mereka.
Ada antaranya yang tak pernah masuk ke disko. Baru hendak mencuba-cuba. Tercengang-cengang macam beruk tertelan chewing gum. Tidak kurang juga yang baru belajar menghisap rokok dan minum arak. Ryan melepaskan keluhan berat apabila memerhatikan suasana kemabukan nafsu duniawi itu.
"Hei, Ryan!" Han menepuk bahu Ryan hingga menyebabkan rakannya itu tersedak. "Budak tu tenung kitalah! Cun gila! Terutama yang rambut merah tu," sambung Han lagi sambil memandang ke arah sebuah meja yang diduduki empat orang gadis.
Ryan mengerutkan dahi. "Dia tenung kai. Bukan aku!" Keras saja bunyi suaranya kerana sakit hati akibat tersedak tadi.
Han segera menoleh ke arahnya. "Sorrylah. Aku tak tau kau tengan minum tadi. Tapi, kau cuba tengok budak tu. Cunlah!" Han terus menuding ke arah gadis berbaju merah tadi.
"Kalau kau berkenan sangat, pergilah tackle dia sebelum ada helang lain sambar," suruh Ryan. Dia mengakui yang gadis yang ditunjukkan oleh Han tu memang cantik. Tapi kenapa pula mereka datang tanpa teman lelaki? Ryan tiba-tiba curiga. Tambahan pula apabila melihat cara mereka bergaul. Nampak macam hendak menggoda saja.
"Eh, jomlah! Kita ambil sorang dua," ajak Han yang sudah pun berdiri.
Ryan pantas memandang Han dengan pandangan tajam. "Kau ni sewellah. Ada ke ajak aku. Gila ke?"
Han menepuk dahi. "Sorrylah Ryan. Aku lupa!" Han tersenyum selepas itu. Begitu juga Ryan.
"Pergilah! Nanti dia disambar buaya besar."
"Wish me luck," kata Han lalu terus menuju ke arah gadis-gadis itu.
Nampaknya ada sambutan. Untunglah Han, fikir Ryan sambil terus meneguk airnya. Dia kemudiannya tersenyum apabila melihat Han dan gadis berbaju merah itu menari. Semakin rancak nampaknya mereka. Cukup murah, fikir Ryan apabila mengenangkan betapa si jelita itu begitu senang diajak.
"Err…hello saudara!"
Ryan segera mendongak. Salah seorang daripada rakan gadis tadi sedang berdiri di hadapannya.
"Boleh saya menari dengan awak?" soalnya agak malu-malu sedikit.
Hampir nak tersembur air yang terkumpul di dalam mulut Ryan apabila mendengar pelawaan itu. Ryan tidak terus menjawab, sebaliknya hanya tersenyum kelucuan.
"Maaflah, cik. Saya tak suka menari dengan kaum sejenis!"
Gadis berambut ala baby doll itu tercengang, tidak percaya. Wajahnya serta merta menjadi merah menahan malu yang amat.
"Ma…maafkan saya." Begitu gugup dia meminta maaf. Gadis itu terus berlalu dengan wajah bagaikan sebesar tayar steamroll. Sebaik saja gadis itu beredar, Ryan terus ketawa. Takkanlah tak tau nak bezakan antara permata dengan kaca, bisiknya dalam hati.
"TERSADAILAH kita di tingkatan enam nampaknya." Fida mengeluh sebaik saja dia duduk di tempatnya.
"Apa nak buat. Tak ada rezeki nak masuk universiti. Terima ajelah. Lagipun kita masih ada peluang melayakkan diri." Jaja cuba memujuk rakannya yang kecewa itu.
Fida adalah salah seorang pelajar terbaik di sekolah itu. Malangnya dia tidak diterima masuk ke mana-mana pusat pengajian tinggi walaupun lulus dengan ce,erlang dalam SPM. Entah apa silapnya.
"Rasa tawar pula hati aku nak belajar lagi." Suara Fida seakan-akan orang berputus asa.
"Jangan begitu, kawan!" Jaja masih berusaha untuk menenangkan hati Fida. "Setiap perkara yang berlaku itu, pasti ada hikmah di sebaliknya. Kita gagal kali ini bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Peluang masih terbuka selagi kau berusaha." Jaja mula bersyarah. Sesuailah dengan cita-citanya ingin menjadi pensyarah suatu hari nanti.
Fida merenung Jaja. "Kata-kata kau tu penuh semangat. Tapi adakah kau sendiri terus bersemangat?"
Jaja mengangguk dengan yakin. "Sudah tentu. Malah aku bangga kerana berpeluang masuk ke tingkatan enam."
"I'll try my best," ujar Fida. Semangatnya terasa kembali bersemarak.
"Eh, belangkas pun masuk tingkatan enam?"
Jaja dan Fida menoleh ke arah pintu apabila terdengar Rabia bersuara. Kelihatan Ryan dan Han beriringan masuk ke dalam kelas. Mereka melilau mencari tempat duduk. Jaja dan Fida membalas senyuman Ryan.
Sebentar kemudian Puan Natasha melangkah masuk ke dalam kelas. Setelah membalas salam, dia terus duduk di tempatnya. Kemudian wanita berusia dalam lingkungan tiga puluhan itu memandang ke arah pelajar-pelajar tingkatan enam rendah yang sudah dikenalinya.
"Bila saya panggil nama, berdiri dan perkenalkan diri," pinta Puan Natasha lalu membuka rekod kedatangan pelajar.
"Ahmad Khairul, Arfidah Amin, Danial Abdul Qasim, Jalina Lokman…." Nama terus disebut dan para pelajar bergilir-gilir memperkenalkan diri masing-masing. "Sofi Suryana Muhammad Firdaus!" Puan Natasha memandang ke arah gadis berimej tomboy dan berambut pendek seperti lelaki. "Awak masih tak berubah. Sejak dari dulu lagi saya tengok awak macam ni."
"Zaihan Iskandar!" Puan Natasha memandang ke arah anak muda itu. "Kamu masih ada di sini lagi? Di mana ada Sofi, di situlah ada awak. Macam belangkas," komen wanita itu sambil menggeleng kepala.
Semua guru di sekolah itu tahu tentang persahabatan antara Ryan dan Han yang bermula sejak di tingkatan satu lagi. Mereka seperti adik-beradik. Tambahan pula dengan sikap Ryan yang lasak itu membuatkan mereka sekepala. Yang peliknya hubungan antara mereka tidak lebih daripada seorang sahabat.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Novel ini telah diterbitkan pada tahun 1997. Aku mengarangnya sewaktu aku masih di bangku sekolah. Jadi gaya bahasa dan tatabahasa memang lintang-pukang. Kekadang aku sendiri pun tak paham apa yang aku tulis....hahaha. Maklumlah...zaman remaja. Ayat pun ayat ala gila-gila remaja gitu. Sesiapa yang masih remaja tu, korang mungkin tak berapa jive dengan apa yang aku tulis. Maklumlah...aku remaja zaman 90-an, abad ke-20. Jadi pemikiran kita mungkin tak sama. Kalau sama...muda lagilah aku ni ya? Hahaha...apa-apa pun, enjoy. Nanti bila aku free lagi, aku sambung lagi. Ada banyak nak kena tayeb ni oi. Sapa nak tolong?